Wednesday, November 16, 2016

MENITI BICARA TERAKHIR SEORANG GURU

28 tahun yang berlalu
aku meniti titian ampuh
yang belum kuat
yang masih kecil
yang hati masih terlalu rapuh

kuturuni lembah
tidak berani meniti
kujejaki segala onak
dan batu kerikil tajam
tidak pernah rasa takut
kerana di sisiku ada semangat
yang sudah kupahat kukuh dalam hati

hari hari berlalu
aku terus berlari mencari pelangi
yang tidak kutahu mana akhirnya
dan aku gagahi mencari
hingga aku rasa warna pelangi itu sudah kugapai
dan aku mahu berehat
melihat pelangi indah

wahai teman
jauhnya perjalananku
dan kini aku sedang menanti
satu saat untuk aku labuhkan tubuh ini
yang sudah terlalu penat
yang sudah lama berkorban
membakar jiwa-jiwa kerdil
menjadi insan berjiwa batu
keras,kental dan berani

aku sedang menanti
waktu waktu terluang
untuk aku ketawa dan riang
tanpa ada batas-batas batu penghalang jalanan
aku mahu berlari di batas-batas lembut hijau biru
aku mahu menyedut udara bebas tiada habuk kotor
dan aku mahu melelapkan mata tanpa ada bising bising
dan.......
Aku Sedang Menuju Ke situ!!!!







Sunday, January 10, 2016

Menggapai Senja Berpelangi

4 Januari
usiaku meningkat 51
apalah ada pada usia
saban tahun terus bertambah
Namun....
aku ada pada setiap usia itu
aku sentiasa mahu kecap jaya disetiap tahun
satu persatu aku mahu abadikan
bukan untuk aku sahaja
malah untuk semua

Aku sentiasa kuat
mahu membilang pelangi setiap tahun
mahu warna itu terus bersinar
dan kejayaan itu aku cari
dan aku usahakan
walau dalam kepayahan
dalam lemah longlai
aku berdiri kuat teguh
dalam senyuman beriring tangisan

Siapa tahu
betapa aku kekadang jatuh tersungkur
siapa tahu
kekadang aku menangis seorang
siapa pun tak tahu
ada masa seharian aku menangis
kerana aku sentiasa tersenyum
dalam gelak tawa bersama rakan

Aku sebenarnya sangat kecil
hati tidaklah sekuat mana
jiwa kekadang rapuh
tetapi aku hidup dengan semangat
dengan semangat aku berdiri
berjalan dan berlari

Untuk anak anak
aku sentiasa mahu
mereka berjaya dalam hidup
jangan membuang sedikit pun masa
yang sangat bernilai
hormati dan hargai usiamu
dalam apa yang kau lakukan

Kekadang kamu lupa
dalam kemewahan diberi
jangan sangka ia kekal lama
andai esok ia diambil
mampukah kalian teruskan hidup?
Maka berusahalah
demi masa depan gemilang.