Wednesday, April 18, 2012

MENCARI MUTIARA DI PINGGIR SENJA


Dalam usia ke arah senja
aku mencari erti kehidupan
aku yang sudah lama singgah
mencari sebuah pengertian
dalam hidup seorang aku

Dalam usia ke arah yang semangkin pendek
aku terus mencari
erti kedamaian dan ketelusan
dalam diri seorang aku

Lautan yang luas sudah aku harungi
gunung tinggi sudah aku daki
lembah berduri terus aku jelajahi
kota batu masih aku diami
dan aku terus mencari

Hidup sememangnya memang payah
bagi yang mahu mencari sebuah kejayaan
tapi mungkin mudah
bagi yang menadah minta simpati
untuk menjadi seorang insan
perlu pengorbanan tinggi dalam apa bicara

Adakala,jalanan kita tersungkur di simpang
patah balik,lurah berliku menanti
adakala tersungkur lagi
luka kaki dan berdarah
perlu bangun dan terus berjalan
walau payah tapi perlu teruskan

Siapa mahu pimpin tangan
pimpin hati dan bawa pergi
hanya kasih dan sayang insan
bawa kita terus berlari
dan capai cita yang lama diimpi

Adakala,aku mahu jadi Tuah
Jujur lurus walau terfitnah
adakala mahu juga jadi Jebat
mahu engkar pada kata yang tidak benar
adakala mahu jua jadi lalang
ikut mana haluan angin bertiup
tapi siapa kita insan biasa
diajak datang,disuruh pergi

Adakala aku mahu jadi pokok
hasilkan buah manis madu
adakala mahu jadi permata zamrud
ikat cincin di jari manis
mahu saja jadi bunga
madu di hisap lebah berjasa
mahu saja jadi angin
sejukkan badan di panas mentari

Siapa aku di hati semua
mahu segala yang baik yang manis
adakala pahit jua datang bertandang
cukuplah aku menjadi insan
sekadar mencari sebiji mutiara
walau cuma mutiara belaan
kerana siapa aku mahu ke laut dalam
mencari mutiara berkualiti jutaan
kerana aku tahu
aku cuma ada perahu kecil
yang mampu dikayuh di gigi air

Syukur....
biar mutiara belaan yang aku ada
tapi  kan  kugilap menjadi bersinar
dan dapat bersama di jari manis
walau cuma hanya di pakai
pada majlis yang tidak gah
tapi ia tetap bersinar
di jari manis seorang aku

DALAM MENITI SENJA-SENJA YANG BERLABUH.

No comments: